Jumaat, 14 September 2012

JANGAN MENGELUH DENGAN UJIAN

Apabila diuji oleh Allah Ta'ala maka bersabarlah. Ya memang, berkata sabar itu sangat mudah, ramai orang hanya boleh berkata "bersabarlah", tetapi diri yang memikulnya hanya Allah Ta'ala sahaja yang tahu, betapa beban yang menimpa hati dan perasaan.Ada juga orang berkata,:

"alah aku juga pun pernah lalui ujian itu dahulu, tapi aku okey je, tak macam engkau, resah gelisah semacam"

Memang benar, setiap orang memang lain perasaan yang dialami ketika menempuh ujian, walaupun zahirnya sama seperti orang lain. Ada orang yang merasa terlalu perit dengan ujian itu, ada juga yang merasakan seperti kecil dan mudah untuk diharungi walaupun kedua-duanya mengalami ujian yang lebih kurang sama corak modus operandi ujiannya. Banyak faktor yang mempengaruhi kekuatan dan ketabahan diri dalam menempuh ujian dari Allah Ta'ala ini, setiap orang berlainan kedudukan dan situasi dirinya. Namun faktor yang jelas dan terang adalah bergantung pada faktor kekuatan minda (ilmu) dan kekuatan roh (iman).

Sebagai tamsilannya, orang yang kaya akan lebih mudah mengharungi ujian yang kecil berbanding orang miskin. Orang kaya apabila diuji dengan kehilangan motorsikal Honda EX5nya tidaklah terlalu perit jika dibandingkan dengan orang miskin yang kehilangan motorsikal jenama yang sama. Ya, memang perit dan sedih apabila kehilangan motorsikl itu, tetapi keperitan itu mungkin tidak sama sebagaimana keperitan yang terpaksa dialami oleh orang miskin. Orang kaya boleh mengembalikan motorsikal yang hilang itu dengan beli yang baharu, bahkan mungkin dia boleh beli motorsikal yang lebih hebat dari itu, bahkan orang kaya mempunyai banyak kenderaan lain yang boleh digunakan. Tetapi bagi golongan miskin, mungkin motorsikal itulah satu-satunya kenderaan dan harta yang bernilai yang dia miliki untuk mencari rezeki menampung kehidupan yang serba menggigit. Inilah ujian yang mungkin sama pada corak ujiannya, tetapi berlainan pada perasaan dan jiwanya.

Allah Ta'ala tidak memandang kepada kualiti dan kuantiti ujian yang diberikanNya itu, tetapi Dia akan memandang kepada kualiti dan kuantiti perasaan yang dialami hamba-hambaNya. Ini kerana pada kebiasaannya orang yang miskin akan lebih banyak merintih dan tersentuh hatinya dengan ujian itu, berbanding orang kaya yang boleh menanganinya dengan mudah. Ini hanyalah sekadar contoh yang boleh untuk kita fahami secara mudah. 

Ada juga yang mengalami ujian kecil, tetapi perasaannya terlalu besar untuk ditanggung. ada juga yang mengalami ujian besar, tetapi perasaannya amat mudah untuk mengharungi ujian itu. Ramai juga yang mengalami ujian besar dan berat untuk ditanggung. Setiap orang mempunyai ujian untuk dirinya yang sesuai dengan kemampuan dirinya, begitulah Allah Ta'ala yang halus dan teliti perancanganNya. Firman Allah Ta'ala dalam al-Quran yang bermaksud:

Allah tidak membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kesanggupannya...."

Surah al-Baqarah : 286 (2 : 286)


Setiap orang yang diuji dengan ujian yang sesuai untuk dirinya dan sangat diperlukan untuk dirinya, begitulah Allah Ta'ala mendidik hati hamba-hambaNya. Oleh itu tidak boleh sesekali kita berkata bahawa ujian yang kita alami inilah yang paling perit berbanding orang lain, kerana orang lain tidak pernah mengalami ujian sebagaimana yang kita alami. Kita semua memahami, bahawa tidak ada ujian yang tidak perit, semua ujian memeritkan jiwa. Mungkin orang lain tidak mengalami apa yang kita alami, kerana kita juga tidak mengalami apa yang orang lain alami. Yakinlah, setiap orang pasti diuji.

Kita merasakan ujian yang kita alami terlalu berat untuk kita, dengan ujian hutang piutang yang menggamit hati setiap bulan untuk membayarnya, dengan pendapatan yang tidak begitu besar. Kita diuji dengan terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri, dan bermacam-macam lagi ujian lain, dan kita merasakannya terlalu besar berbanding orang lain. Sedangkan pernahkah kita terfikir bagaimana ujian yang lebih dahsyat yang terpaksa ditempuh orang lain? Mereka ada yang diuji dengan kesemua anak-anaknya terencat akal, ada yang diuji dengan penyakit sihir yang ditanggung dan dideritai selama puluhan tahun, yang telah membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar untuk mengubati penyakit tersebut, tatkala dalam keadaan ekonomi diri yang sangat goyang. Ada juga mereka yang diuji dengan kematian seluruh ahli keluarganya dan macam-macam lagi ujian yang menggerunkan yang kebanyakannya jauh lebih besar dan berat berbanding ujian yang kita tempuhi. Sepatutnya kita bersyukur dengan setiap ujian yang Allah Ta'ala berikan, kerana orang lain ada yang diuji dengan ujian yang lebih berat dan besar berbanding ujian kita. Besrsyukurlah kerana kita tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita memikulnya. Oleh itu, hendaklah kita berdoa kepada Allah Ta'ala agar dijauhkan dari ujian yang tidak sanggup kita memikulnya :

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." 

Surah al-Baqarah : 286 (2:286)

Apabila diuji dengan berbagai permasalah dalam kehidupan, maka hendaklah kita menempuhi ujian tersebut dengan penuh kesabaran dan kepasrahan kepada Allah Ta'ala. Jangan sesekali kita mencari jalan untuk lari dari masalah atau ujian tersebut, nanti kita akan terus menerus bermasalah, yang bagaikan tiada kesudahannya. Lari dari masalah tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Kita mungkin menyangka bahawa dengan lari dari ujian atau masalah terebut, maka kita sudah bebas dari masalah. Sebenarnya tidak, adakalanya selepas melarikan diri dari sesuatu masalah, kita terpaksa menempuh masalah yang lebih berat dari sebelumnya. Oleh itu, setiap ujian yang Allah Ta'ala berikan untuk kita, kita terima seadanya, kerana di situ terletak redhaNya. Usahalah untuk mencari  penyelesaian terbaik tanpa melanggar batasan syariat Allah Ta'ala. Apabila diuji, maka bersyukurlah, kerana itu yang paling layak untuk kita dari Allah Tuhan yang Maha berjasa pada kita.

Ujian adalah lumrah kehidupan, oleh itu ketika tidak diuji, diwaktu lapang, didiklah hati dan akal untuk memahami dan mengenali perbuatan Allah. Latihlah diri untuk menjadi ahlillah (ahli Allah) yang kenal dengan perbuatan Allah Ta'ala, yang faham tindakan Allah Ta'ala yang amat meredhai perbuatan Allah Ta'ala, semata-mata untuk mendapat redhaNya. Didikan diri inilah yang akan menghasilkan peribadi yang agung, setiap urusannya seperti ajaib dan tenang, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Ajaib urusan seorang muslim, sesungguhnya segala urusannya adalah adalah baik, apabila dia mendapat kesenangan dia bersyukur, dan apabila dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka jadilah baik baginya"

(Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan